Rabu, 31 Disember 2014

Niat.



 Niat

Niat yang baik itu adalah asas bagi setiap amalan Kepada Allah Ta'ala , sebab amalan tanpa niat yang baik , tidak akan diterima oleh Allah. Ataupun amalan dengan niat yang jahat akan dimurkai Allah. Itulah pokok lintasan hati yang terbit daripadanya segala gerak-geri dan kelakuan manusia. Lantaran itu hendaklah kita memperbagusi niat kita agar segala amalan kita direstui Allah dan diberikan balasannya yang baik pula.

Niat yang baik itu termasuk niat kita terhadap Allah Ta'ala , jangan sampai terbawa-bawa oleh buruk sangka  , khususnya apabila berlaku hal-hal yang tidak direlakan hati , padahal amalan yang dibuat semuanya baik-baik belaka. Malah hendaklah kita menganggap semua itu sebagai takdir Tuhan , dan takdir semuanya mestilah baik , apatah lagi bila ditimpakan ke atas hambanya yang baik , atau apa yang tidak tertanggung oleh diri kerana manusia itu tidak mengerti hikmah dan kebijaksanaan Tuhan dalam mentakdirkan sesuatu ke atas hambanya.


Sabtu, 20 Disember 2014

Umur insan.




Jarang-jarang manusia mengetahui bahwa kita sebenarnya mempunyai lima umur , yang mana kita tetap akan melaluinya sejak kita ujud di alam insani , yang bergolak dari satu peringkat keperingkat yang lain , kerana di dalam tiap-tiap umur ada hayatnya yang tersendiri. Sebab sebelum kita menjalani hayat kita ini , kita harus menjalani hayat di dalam sulbi ayah , kemudian berpindah pula ke rahim ibu. Kemudian sesudah hayat di alam dunia ini , di sana ada hayat di alam Barzakh , hayat di Padang Mahsyar , kemudian barulah kita menempuh hayat yang abadi , samada di dalam syurga ataupun di dalam neraka.

Moga-moga kita akan menempa kesedaran dan keinsafan di dalam semua hayat yang kita lalui dan moga-moga kita dipimpin oleh Allah ke jalan keridhaanNya dan terlindung dari jalan kemurkaanNya.InshyaAllah.

Khamis, 4 Disember 2014

Bicara iman.









Ada dua macam manusia; yang satu 'pintar' yang dikatakan dapat membendung hawa nafsunya , lalu bekerja untuk kepentingan akhiratnya dan yang lain pula 'malas' tidak berdaya untuk mengongkong hawa nafsunya yang menyebabkan dia terumbang-ambing dalam usahanya menuju ke akhirat , lalu dia bercita-cita kosong terhadap Allah.

Yang dimaksudkan dengan 'bercita-cita kosong terhadap Allah' itu,dia mengharapkan balasan Allah tanpa beramal dan berusaha , hanya dengan menggantung nasib kepada sifat-sifat ,Allah yang Maha Pembelas , Pengasihani , Pemurah dan seterusnya. Pada hal apa yang di cita-citakannya belum tentu termakbul , cuma satu harapan semata. Berlainan sekali , kalau dia sudah bekerja dan berusaha , lalu dia bercita-cita. Sebab itulah orang yang bekerja dan berusaha itu dikatakan 'pintar' yakni tahu akan tugasnya sebagai hamba kepada Tuannya.









Berbuat kebajikan


Dalam agama Islam kita dianjurkan supaya selalu bersedia untuk membantu saudara kita , jika terainaya ataupun sedang mahu menganiaya orang lain . Yang terainaya , tentu sudah jelas perkaranya, kita diajarkan untuk mempertahankan sekadar termampu. Bahkan yang mengainaya juga dapat kita membantunya dengan mencegahnya daripada perbuatan kezaliman kepada orang lain. Beerti kita tidak boleh berpeluk tubuh melihat perkara kezaliman itu berlaku di hadapan mata kita dengan tidak berbuat apa pun , padahal kita mampu.

Di samping membantu orang lain  , kita lebih-lebih lagi dianjurkan untuk membantu diri kita sendiri. Jika kita suka membuat kebajikan , kita harus menggalakkannya , dan jika dia suka membuat apa yang ditegah Allah dan RasulNya maka kita wajib mencegahnya pula serta mengancamnya dengan siksa Tuhan dan balasanNya yang berat,

Di dunia ini, alangkah banyaknya orang yang bersifat mengainaya dan terainaya , beerti manusia tidak seharusnya meniggalkan peluang mencuba secara terus-menerus untuk membetulkan manusia lain dalam hal ini. Dan yang lebih berat angkaranya , ialah bila manusia menzalimi diri sendiri , iaitu bila dia tahu perkara yang dilarang oleh syariat , lalu dibuatnya , sama dengan sengaja mahupun tidak sengaja.. Melakukan yang ditegah oleh Allah akan menyeret diri kepada kecelakaan iaitu kecelakaan yang segera , yang kerap ditimpakan di dunia , dan kecelakaan yang ditangguhkan , yang akan ditimpakan di akhirat. Malah kecelakaan di akhirat amat keras dan pedih sekali.Haruslah hendaknya kita berhati-hati!.

Isnin, 1 Disember 2014

Soal Hati.


Soal hati

...........inilah titian!
titian suci
jalan menuju ilahi
Tuhan Maha Pengasih Maha Penyayang selalu merahmati
ku ajakmu kesana
datanglah segera! mari kemari!
kita mendaki meniti pelangi
membawa hati
kehadrat qudus di taman suci rabbani
alangkah indahnya! semuanya sepi
penuh ketenteraman penuh ketenangan jiwa insani
apakah tidak mahu datang ke sini?!
kepada Tuhanmu tidak mencintai?!
masih menurut nafsu syaitani?!
sampingkan keduniaan lempar kebelakang daki-daki duniawi!
kikis segala kotor dan karat yang melekat hati sanubari
biarkan sampai bersih putih suci
harum mewangi bercahaya nurani
supaya sesuai untuk pandangan pencipta insani
Tuhan semesta alam Rabbul-Alamin Rahim Rahmani
..........Ilahi Rabbi!
aku berdoa memohon kurnia kelimpahan rahasia
rahasia makrifat
rahasia hakikat
rahasia kaum orang bahagia
namun aku merasa sedih..........berdukacita
jiwaku kotor......berkarat berdaki orang sengsara
hatipun lalai sering melupakanmu selalu alpa
fikiran kabur berpura-pura
haluan bercelaru entah kemana
bentengilah aku......bentengilah segera!
dalam istana makrifat taman hakikat kemuncak gembira
.............wahai kawan!
inilah persembahanku terimalah!
sebuah bingkisan yang paling murah
nilainya tinggi kemuncak yang indah
untuk dirimu bentenglah cepat
'benteng diri ahli hakikat....
meniti makrifat kepada Allah'
moga-moga nikmat siapa yang rindu mencintai Allah
Ya Tuhanku , kabulkanlah.......kabulkanlah!
katakanlah Amin tanda berserah!