Khamis, 8 Januari 2015

mungkir janji.




Jangan sekali-kali engkau berjanji kemudian engkau memungkirinya bahkan sebaiknya biarlah engkau banyak berbuat baik walaupun tanpa berjanji. Jikalau engkau terpaksa juga mengikat janji maka engkau mestilah berhati-hati , jangan sampai janji itu engkau ingkari kecuali apabila engkau lemah daripadanya dengan sebab ada halangan yang tidak dapat dielakkan kerana mungkir janji itu adalah sebahagian tanda orang-orang munafiq dan orang yang rendah akhlaknya.

Rasullullah SAW pernah bersabda: "Tiga perkara apabila ada pada seseorang maka ia adalah orang munafiq (munafiq amal bukan munafiq aqidah) Walaupun ia berpuasa dan sembahyang , ialah orang yang apabila bercakap ia berbohong dan apabila berjanji ia mungkir dan apabila ia diamanahkan sesuatu ia akan khianat."

Menjaga perut.




  Peliharalah perutmu daripada memakan makanan yang haram atau syubhah dan berusahalah untuk mencari makanan yang halal. Apabila engkau telah mendapatkan makanan yang halal maka hendaklah engkau merasa cukup dengan memakannya dan hendaklah engkau berhenti sebelum kenyang , kerana perut yang kenyang itu mengeraskan hati dan menumpulkan akal dan memberatkan anggota daripada beribadat dan mencari ilmu bahkan perut yang kenyang itu akan menguatkan syahwat dan membantu tentera syaitan. Kenyang  dengan yang halal adalah punca segala kejahatan maka betapa pula kenyang dengan makanan yang haram.

Oleh itu mencari makanan yang halal adalah wajib atas setiap orang Islam .seboleh-bolehnya hendaklah hindari dan kenal pasti sumber makanan tersebut.kerana apa yang kita makan menjadi darah daging .patutkah kita memberi makan keluarga kita makanan dari sumber yang haram? Moga Allah pelihara umatnya dari melakukan dosa..

Sabtu, 3 Januari 2015

peliharalah anggota kita.



Ketahuilah bahawasanya apabila engkau melakukan sesuatu maksiat maka sebenarnya engkau melakukan maksiat itu dengan menggunakan anggota badanmu yang merupakan nikmat Allah yang dianugerahkannya kepadamu dan menggunakan amanat yang diberikan kepadamu.Jadi ketika engkau menggunakan anggotamu untuk melakukan maksiat bermakna engkau menyalahgunakan  nikmat yang dianugerahkan dan mengkhianati terhadap amanah yang diberikan.Anggotamu harus dipelihara dan dijaga , sesungguhnya semua anggotamu akan bersaksi di atas segala perbuatanmu di Padang Mahsyar kelak dengan menuturkan perkataan yang lancar dan terang. Anggotamu akan mendedahkan segala rahsiamu di hadapan perhimpunan agung di Padang Mahsyar. Allah Ta'ala telah berfirman dalam surah An-Nur ayat 24 bermaksud:
                                    "Di hari itu (hari Qiamat) akan bersaksilah ke atas kamu oleh segala lidahmu, tanganmu, dan kakimu dengan segala sesuatu yang telah kamu perbuat (didalam dunia dahulu)."

Dalam Surah Yassin ayat 65 bermaksud:
                                     "Pada hari ini (hari Qiamat)Kami akan kunci mulut-mulut mereka dan akan bercakap kepada Kami tangan-tangan mereka dan bersaksi di hadapan Kami kaki-kaki mereka terhadap apa-apa yang telah perbuat (di dunia dahulu)."

Maka jagalah baik-baik seluruh anggotamu.Khususnya anggotamu yang tujuh kerana pintu neraka itu tujuh pula dan telah ditentukan setiap pintu itu untuk dimasuki oleh kumpulan yang telah melakukan perbuatan maksiat dengan salah satu di antara tujuh anggota badan , iaitu mata , telinga , lidah , perut , kemaluan , tangan , dan kaki.